Inspirasi Imunisasi

Inspirasi Imunisasi
Perlindungan Sistem Imun Kanak-Kanak SETIAP HARI!

Friday, October 6, 2017

Kalimah Bersyukur

Selalu dilaungkan kalimah 'bersyukur', baik di dalam kehidupan harian kita, mahupun di dalam kebanyakan penulisan. Seruan untuk bersyukur ini bukanlah baharu. Bahkan telah disebut di dalam Al Quran berkurun lamanya.


"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu engkar kepada Ku." (Al-Baqarah 2:152)

Di sini, saya ingin berkongsi perkara yang harus kita perlu 'hindarkan' sebagai rasa tanda kita bersyukur.

Mengeluh
Setiap jenis keluhan yang diutarakan dengan nada bergurau, apatah yang serius, adalah ciri tipisnya atau bahkan tidak adanya rasa syukur. Dan ini tidak hanya meliputi keluhan terhadap diri dan badan kita sendiri, tetapi juga keluhan terhadap masyarakat dan negara.

Misalnya: mengeluh tentang harga barang yang makin mahal, mengeluh tentang penghasilan yang kecil, mengeluh tentang negara yang semakin kacau bilau, tentang kemelesetan ekonomi, tentang bencana, tentang apapun, di sekitar kita. Yang penting ia berbentuk keluhan.

Keluhan berbahaya kerana membuat orang lupa atau buta akan keadaan sebaliknya dan kalau diulang berkali-kali akan merasuk ke dalam jiwa dan menjadi sesuatu yang kita percayai.

Memperkecil nikmat 
Contohnya kata-kata seperti ini : "Ah! Gaji aku kecik betul",  "Ah! Bosannya hidup aku ini", "Rumah aku ni sempit. Tak macam rumah kau besar" dan sebagainya lagi.

Mungkin niat kita untuk merendah diri. Tapi berhati-hati dan sedarlah bahawa setiap rezeki yang dikurniakan Tuhan itu, bukan kecil nilainya.

Kedekut
Ya, kedekut adalah juga satu tanda tidak bersyukurnya seseorang. Dia merasakan apa yang dimilikinya masih kecil jumlahnya sehingga tidak rela memberikan kepada yang lain. Atau dia khuatir, cemas, dan takut tidak akan mendapat lagi, sehingga rasa dia harus menyimpan untuk diri sendiri.

Cara berfikir kedekut ini sungguh berbahaya, lebih berbahaya dari suka mengeluh, kerana di sana tersimpan rasa tidak adanya terima kasih pada Tuhan, serta rasa tidak percaya akan pertolongan dan kekuasaan Tuhan.

Menginginkan milik orang

Ada orang yang kerjanya lapar mata terus. Tidak pernah puas. Apapun yang dimiliki orang lain, ingin dia miliki juga, bahkan dengan penuh rasa persaingan. Dia tak boleh melihat orang lain maju tanpa sekilas perasaan iri hati atau dengki menyelimuti.

Perkara ini perlu kita buang jauh-jauh. Jangan disimpan di dalam hati. Perlu kita sedari bahawa apa yang dimiliki oleh orang lain adalah kurnia Tuhan kepadanya. Hasil apa yang dia usahakan dan rezeki yang dilimpahkan kepadanya. Usah berdengki atau iri hati. Lihat pada diri sendiri dan syukur apa yang telah dimiliki. Namun, tidak salah jika bercita-cita mahu menjadi seperti si dia. Akan tetapi, bukan dengan jalan yang membelakangkan agama. Banyak jalan yang sihat yang boleh dipilih untuk dilaksanakan.

Untuk kali ini, empat sahaja dahulu yang boleh kita perhatikan pada diri sendiri. Adakah terdapatnya perkara-perkara tersebut dalam diri kita. Sama ada sedar ataupun tidak. Haruslah kita hindari. Jauhi. Bina pemikiran yang positif dan syukuri segala nikmat. Saya percaya, kita akan mendapat lebih dari apa yang kita sangkakan.

No comments:

Post a Comment

Anda turut meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...