Inspirasi Imunisasi

Inspirasi Imunisasi
Perlindungan Sistem Imun Kanak-Kanak SETIAP HARI!

Tuesday, November 7, 2017

Tips bonding dengan anak

Tips bonding dengan anak


Masa kita terhadap bersama anak, sayang sekiranya dibiarkan walaupun masa yang ada itu sedikit.

Seringkali kita tergadah, lalu menyesal kerana tersasar memarahi, menengking, tidak berlembut, tidak memberi nasihat, tidak berjenaka.

Contohnya kita hanya mempunyai masa antara jam 6 petang hingga 8 malam sahaja, waktu selepas anak pulang sekolah dan kita pulang kerja, kemudian sebelum mereka tidur semula.

Waktu pagi pula, antara jam 6 hingga 8 pagi, dari bangun tidur dan bersiap hendak ke tempat kerja dan sekolah.

Bagaimana memanfaatkan masa yang pendek agar bermanfaat?

Bermanfaat untuk psikologi anak, untuk kepuasan ibu dan ayah memenuhi tanggungjawab, untuk kestabilan keluarga.

Fokus
Fokus kepada anak. Simpan gangguan lain. Terutamanya telefon bimbit. Kalau perlu, sorokkan telefon bimbit. Ingat, sekejap lagi mereka nak sekolah dan tidur. Sekejap sahaja masa diperlukan utk mereka.

Pesan kepada diri

Pesan kepada diri, saya mahu guna masa ini dengan baik untuk anak, sebentar lagi mereka ke sekolah, mereka ke nurseri, saya pergi kerja, saya mesti beri waktu berharga untuk anak-anak. Biar mereka ingat kita yang seronok, bukan yang marah.

Komunikasi lisan
Komunikasi lisan adalah salah satu pintu sinaran kasih sayang kepada semua ahli keluarga. Untuk pasangan dan anak-anak.

Latih komunikasi positif, suara rendah, ayat mendorong, ayat meminta kerjasama dengan tenang, jangan keluarkan suara seperti di padang. Berlatih. Guna kata nama anak umi sayang, sayang kakak, sayang adik.

Bahasa badan
Peluk, cium, pegang badannya, belai rambutnya. Lihat mata anak ketika bercakap, beri giliran yang adil untuk bercakap.

Jenaka
Buat jenaka tahap anak-anak, ciptalah apa sahaja, mereka akan menyukainya. Anak 1 tahun pun sudah pandai main sembunyi-sembunyi. Anak 4 tahun dah boleh acah-acah dan bermain teka teki. Waktu tunggu makanan boleh buat teka teki. Boleh main kuiz. 5 minit anak terasa indah hatta jenaka kanak-kanak cuma

Nasihat dan pujian
Berikan nasihat santai kehidupan, bicara tentang Allah, syurga, neraka, akhlak. Guna waktu makan, dalam kereta, sebelum tidur. Yang pasti apabila perut anak sudah kenyang. Nasihat bukan untuk kesalahan sahaja, tetapi untuk memupuk potensi kebaikan, positive reinforcement. Puji juga kebaikan dan kekuatan anak, jangan kedekut pujian. Bina rasa yakin dalam diri anak.

Bersedia fizikal
Pastikan kita telah siap rancangan aktiviti. Mahu makan apa, di rumah atau di kedai. Selepas itu apa, komunikasikan dengan keluarga. Lebih semua orang faham, lebih terarah dan produktif masa.

Dorong jati diri rutin
Bantu anak bina jati diri, dengan melatih mereka mnenyiapkan beg sendiri, cari stokin, isi botol air, ambil air ketika makan malam dan sarapan, angkat beg, kemas baju kotor, tuala dan katil. Arahan ringkas dan tenang. Suara rendah, jangan tinggi. Elok buat rutin bertulis, mudah mereka rujuk. Anak suka begitu.

Wujudkan peraturan umum
Peraturan umum keluarga perlu ada bagi melatih nilai dan pengurusan keluarga yang produktif. Contoh peraturan, solat berjemaah, makan di meja, buang dan kutip sampah yang dilihat, basuh pinggan sendiri, bercakap ikut giliran, semua makanan perlu dikongsi. Semuanya disebut-sebut dan diberi penekanan sewajarnya.

Begitulah halnya dengan masa yang pendek yang kita ada setiap hari. Kadang-kadang kita selalu fikir, hujung minggu adalah masa keluarga, sehingga kita lupa setiap detik yang berlalu setiap hari juga perlu diraikan.

Jangan rasa berat. Guna point 1-5 dahulu, ini lebih nampak mudah. Kita mulakan bersama. Isu ini isu asas, semua keluarga merasainya. Jangan biarkan saat berharga hilang begitu sahaja.

Masa bersama keluarga wajar dimanfaatkan, bukan dengan wang ringgit tetapi dengan mewarnai perhubungan.

Suami isteri mahukan pasangan yang memahami dan mampu berkomunikasi, anak-anak rindukan ibu ayah yang lembut dan tenang.

Anak-anak kecil, sekali sahaja. Sampai masa ia membesar dan terus berdikari.

Sumber: We Are The Amazing Parent

No comments:

Post a Comment

Anda turut meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...